Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Rabu, 23 Oktober 2013

Tazkirah @ Ofis - Tafsir Al-Quran Al-Kahfi 6-8 : KEHIDUPAN DUNIA HANYA HIASAN

Salam

Ustaz dah beri Nota, Tazkirahnya sebentar lagi.. Moga ilmu ini dpt kuhayati @ istiqamah memahami ayat2 Allah..

Tarikh              : 24/10/2013 (Khamis)

Masa               : 1:00 pm

Tempat            : Bilik Latihan, Tingkat 1

Penceramah   : Ustaz Dr Abdullah Yaasin

Tajuk               :  Tafsir Al-Quran

Ulasan dari Ustaz (dpt 1/2 jam terakhir je) : Ayat ke-7, amalan yg terbaik yg dimaksudkan adalah 1. amalan yg sedikit tp istiqamah 2.amalan sunnah (dari Rasulullah saw)

PELAJARAN (137) – AL-QURAN : KEHIDUPAN DUNIA HANYA HIASAN

( Al-Kahfi / 18 : 6 – 8 )

TERJEMAHAN :

Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).  Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.  Dan Sesungguhnya kami benar-benar akan menjadikan (pula) apa yang di atasnya menjadi tanah rata lagi tandus. ( Al-Kahfi / 18 / 6 – 8 )


TAFSIR AYAT :

Di antara penyebab utama mengapa umat Islam sangat cinta kepada Rasulullah s.a.w. kerana baginda s.a.w. sangat mengambil berat tentang keselamatan umatnya. Hakikat ini digambarkan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran seolah-olah baginda s.a.w. akan membunuh dirinya disebabkan kerana umatnya enggan beriman kepada Al-Quran.


Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).  ( 6 )

Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya Tafsir Ibn Kathir ; III / 94 :

Di dalam ayat ini Allah S.W.T. menghibur Nabi s.a.w. yang terlalu sedih ketika menghadapi sikap orang-orang musyrikin yang enggan beriman dengan ajaran yang dibawa oleh baginda s.a.w.

Maksud ayat tersebut : Janganlah kamu terlalu memperturutkan kesedihanmu, tetapi sampaikan sahajalah “ Risalah Allah “ (ajaran Allah) , barangsiapa yang mau menerimanya maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang enggan maka kesesatan baginya. Janganlah kamu terlalu bersedih sehingga akan membunuh dirimu kerana mereka menolak ajaran yang engkau bawa serta enggan beriman kepada Al-Quran yang diturunkan Allah kepadamu !

Selanjutnya Allah S.W.T. menjelaskan bahawa Dia menjadikan dunia sebagai negeri sementara yang dihiasi dengan hiasan yang akan musnah , sebagai negeri yang penuh ujian dan dugaan , bukan negeri yang kekal abadi.


Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya. ( 7 )  

Allah S.W.T. telah menjadikan dunia ini dan ditundukkan-Nya untuk umat manusia. Dunia dihiasi dengan pelbagai hiasan sehingga kelihatan indah dan sesuai untuk dihuni.

Imam al-Fudhail berkata dalam kitab : Ghidza’ al-Roh oleh Abdul Aziz al-Musnid ; Hlmn. 344 : Sungguh lama aku merenung maksud ayat ini. Semakin aku dalami dan selami maksudnya maka akan semakin bertambah kefahamanku apa yang terkandung di dalamnya.

Sungguh tepat komen al-Fudhail di atas yang telah sekian lama memerah fikirannya untuk mencari maksud ayat di atas kerana sungguh banyak manusia yang hidup di dunia ini bagaikan binatang ternak yang kerjanya tidak lain kecuali makan, minum, enjoy menikmati keindahan dunia tetapi tidak sedikitpun memikirkan apa yang akan mereka hadapi sesudahnya.

Padahal Allah S.W.T. menginginkan sesuatu yang lain. Dunia ini dihiasi-Nya mempunyai tujuan tertentu yakni menguji manusia siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya. Manusia yang berakal mengetahui bahawa dia tidak dicipta oleh Allah tanpa tujuan atau sia-sia belaka.



Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ? ( Al-Mukminun / 23 : 115 )

Sebenarnya Allah telah menyediakan untuk mereka dunia ini untuk urusan yang amat besar agar mereka bekerja untuk kebaikan kehidupan mereka di dunia dan kebaikan kehidupan di akhirat. Mereka seharusnya memanfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menjalin hubungan baik dengan Allah dan hubungan baik dengan sesama makhluk ketika di dunia yang sementara ini agar boleh memetik hasilnya kelak di akhirat.

Kehidupan dunia dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran dengan pelbagai bentuk. Hikmahnya agar manusia menyadari bahawa itu semua hanya hiasan yang tidak kekal agar mereka tidak mudah terpedaya. Di antara kehidupan dunia yang Allah paparkan ialah : permainan, senda gurauan, perhiasan, bermegah-megah, berbangga-bangga tentang harta dan anak yang banyak. Allah berfirman :
 


Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, ……. dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. ( Al-Hadid / 57 / 20 )


Allah S.W.T. juga berfirman :
 

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. Al-Kahfi / 18 ; 46 )

Semoga dengan merenung dan menghayati ayat-ayat Al-Quran di atas dan sebenarnya banyak lagi ayat-ayat lain yang mengisahkan perihal kehidupan dunia ini maka akan insaflah kita bahawa keturunan, gelaran, pangkat, harta kekayaan dan lain-lain yang ada di dunia ini hanyalah sementara dan akan musnah. Sedangkan amalan yang kekal lagi soleh itulah yang lebih baik pahalanya dan lebih baik untuk dijadikan tumpuan harapan.

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’diy berkata dalam tafsirnya : Tafsir Kalam al-Mannan ; Juz V / 44 : Maksud yang kekal lagi soleh adalah semua jenis ketaatan kepada Allah yang wajib dan sunat, yang berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia serta segala bentuk ihsan kepada sesama makhluk.

Oleh itu, selagi hayat dikandung badan pergunakan masa sebaik-baiknya dan usahakan agar jangan sekali-kali menangguh-nangguhkan amal soleh. Islam sangat mengutamakan pengurusan masa. Rasulullah s.a.w. bersabda :

إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ ( رَوَاهُ التَّرْمِذِى )

Jika kamu sedang berpetang-petang maka janganlah kamu tunggu pagi dan jika kamu sedang berpagi-pagi maka janganlah kamu tunggu petang. ( HR Tarmidzi ; Bab Riqaq ; Hadsi No. 3 )

Adalah menjadi amalan Umar Ibn al-Khattab r.a. , jika beliau mengangkat ketua atau pemimpin , beliau akan berwasiat dengan wasiat ini :

إِنَّ الْقُوَّةَ عَلَى اْلأَعْمَالِ أَلاَّ تُؤَخِّرُوا عَمَلَ الْيَوْمِ لِغَدٍ ، فَإِنَّكُمْ إِذَا فَعَلْتُمْ ذَلِكَ تَذَاءَبَتْ عَلَيْكُمُ اْلأَعْمَـالُ ، فَلاَ تَدْرُونَ بِأَيِّهَا تَبْدَءُونَ وَأَيُّهَا تَـأْخُذُونَ .

Sesungguhnya kekuatan dalam bekerja ialah kamu tidak menangguhkan kerja hari ini pada esok hari, sebab jika kamu berbuat demikian maka akan menumpuklah kerja-kerja kamu sehingga kelak kamu tidak tahu kerja mana yang kamu harus dahulukan dan kerja mana yang kamu harus ambil.

Imam Ibn Jarir al-Tabariy ( wafat : 310H ) dalam tafsirnya : Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil aay al-Quran ; Juz : XV / 196 berkata :

Daripada Imam Qatadah katanya : Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ ، وَإِنَّ اللهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيْهَا ، فَنَـظَرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَـا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِى النِّسَاءِ . ( رَوَاهُ مُسْلِمٌ )

Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau, dan sesungguhnya Allah menugaskan kamu padanya sebagai khalifahnya, lalu Dia memperhatikan bagaimana kamu berbuat, oleh sebab itu bertakwalah kamu terhadap dunia dan bertakwalah kamu terhadap wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah wanita.        ( HR Muslim ; Bab : Zikir ; Hadis No. 99 )

Imam al-Nawawiy berkata di dalam kitabnya : Syarh Sahih Muslim ; Tahqiq Muhammad Fuad Abdul Baqiy ; Juz IV / 2098 :

Ada dua kemungkinan makna : Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau :

  1. Dunia disebut manis dan hijau kerana keindahannya dan kelezatannya, seperti menariknya buah-buahan yang hijau, segar dan manis.
  2. Dunia disebut demikian juga membawa makna bahawa dunia ini cepat musnah sebagaimana keadaan sesuatu yang hijau.

Adapun makna : Allah menjadikan kamu sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi sebagai penerus atau pengganti umat terdahulu untuk memperhatikan perbuatanmu , apakah kamu mentaati-Nya atau melakukan maksiat dan memperturut hawa nafsu. Sedangkan : Bertakwalah terhadap dunia dan wanita, maknanya : Waspadalah kamu terhadap godaan dunia dan wanita.

Pada ayat berikutnya Allah S.W.T. menerangkan bahawa dunia dihias indah dan menarik ini akan berakhir dengan kemusnahan.



Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menjadikan (pula) apa yang di atasnya menjadi tanah rata lagi tandus. (Al-Kahfi 18: 8 )

Imam Ibn al-Jauziy berkata dalam tafsirnya : Zad al-Masir Fii ‘Ilm al-Tafsir ; Juz V / 107 : Para Mufassirin berkata : Maksudnya pada hari kiamat nanti Allah akan menjadikan bumi ini rata , tiada tumbuh-tumbuhan padanya dan tiada pula air.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan