Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Selasa, 18 Februari 2014

Tazkirah @ Ofis - Al-Mukmin 7-9 DOA MALAIKAT UNTUK ORANG BERIMAN


Salam

Tarikh              : 06/02/2014
Masa               : 1:00 pm
Tempat           : Bilik Latihan
Penceramah : Ustaz Dr Abdullah Yaasin
Tajuk               : Tafsir Al-Quran



DOA MALAIKAT UNTUK ORANG BERIMAN

( Al-Mukmin [40] : 7-9 )

TERJEMAHAN :

7.      (Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): " Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala,

8.      Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,

9.      Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu Maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar".


MUKADDIMAH :

Setiap mukmin sangat berhajat kepada doa mukmin yang lain. Hal ini dibenarkan oleh Islam malahan sangat digalakkan. Saling doa mendoakan termasuk ke dalam salah satu cara mereka bertolongan. Doa yang sangat makbul dan besar harapan diterima oleh Allah ialah jika doa tersebut memenuhi syarat-syaratnya, antaranya orang yang berdoa itu hampir dengan Allah, banyak beribadat, tidak banyak melakukan maksiat, makan dan minumnya halal tidak bercampur haram dan syubuhat.

Allah S.W.T. menerangkan di dalam ayat-ayat di atas tentang adanya doa malaikat untuk orang-orang yang beriman. Para malaikat adalah makhluk suci yang tidak pernah melakukan dosa, sangat hampir dengan Allah, banyak beribadat kepada-Nya. Sungguh beruntunglah sesiapa yang mendapat doa daripada para malaikat, lebih-lebih lagi dari malaikat yang sangat mulia iaitu Hamalatul-‘Arsy : Malaikat Pengangkat ‘Arasy Allah.

Tetapi siapakah gerangan orang-orang yang layak mendapat doa malaikat tersebut ? Berikut ini akan dijelaskan beberapa sifat yang perlu ada pada seseorang sehingga termasuk ke dalam mereka yang layak mendapat doa dari Hamalatul-‘Arsy.


TAFSIR AYAT :


(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): " Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala, (7)

Pengajaran ayat :

  1. Malaikat Pengangkat ‘Arasy Allah.

Malaikat ( حَمَلَةُ الْعَرْشِ ) : Pengangkat ‘Arasy dicipta oleh Allah setelah Allah mencipta Arasy-Nya. Malaikat Hamalatul-‘Arsy termasuk malaikat yang paling mulia. Bilangannya empat malaikat yang kemudian ditambah empat lagi pada hari kiamat. Demikian menurut pandangan kebanyakan ulamak tafsir ketika menafsirkan firman Allah ( وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَانِيَةٌ ) : Dan pada hari itu lapan orang malaikat menjunjung ‘Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka. ( Al-Haaqqah [69] : 17 ).  Sila lihat Kitab Aisar Al-Tafaasir ; Syeikh Abu Bakr Jabir Al-Jazaairi ; IV / 517.

Malaikat ini sangat kuat dan besar tubuhnya. Hakikat ini digambarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya :

أُذِنَ لِى أَنْ أُحَدِّثَ عَنْ مَلَكٍ مِنْ مَلاَئِكَةِ اللهِ مِنْ حَمَلَةِ الْعَرْشِ ، أَنَّ مَا بَيْنَ شَحْمَةِ أُذُنِهِ إِلَى عَاتِقَيْهِ مَسِيْرَةَ سَبْعُمِائَةِ عَامٍ ( رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ بِسَنَدٍ صَحِيْحٍ )
Diizinkan kepadaku untuk menceritakan tentang malaikat Pengangkat ‘Arasy, bahawa jarak antara anak telinganya dengan kedua bahunya adalah sejauh tujuh ratus tahun perjalanan. ( HR Abu Daud – Sanadnya sahih )

Selain malaikat Hamalatul-‘Arsy juga malaikat-malaikat yang berada disekeliling ‘Arasy semuanya bertasbih memuji Allah. Mereka beriman kepada Allah dan memohon kepada-Nya agar mengampuni dosa-dosa orang-orang yang beriman.

Imam Ibn Al-Jauzi dalam Tafsirnya Zaad Al-Masiir ; VII / 208 berkata : Telah berkata Wahab Bin Munabbih : Sekeliling ‘Arasy terdapat 70.000 saf para malaikat yang tawaf mengelilingi ‘Arasy. Dan dibelakang mereka terdapat pula 100.000 saf para malaikat yang masing-masing mereka bertasbih memuji Allah dengan jenis tasbih yang berbeza antara satu dengan yang lain.

  1. Malaikat Mohon Ampunan Untuk Mukminin.

Sebagaimana kita yakini bahawa semua malaikat beriman kepada Allah. Namun disini Allah menyebut sifat tersebut ( يُؤْمِنُونَ بِهِ ) : mereka beriman kepada-Nya, bertujuan untuk menguatkan lagi betapa mulia dan tingginya nilai iman. Walaupun makhluk malaikat berbeza dengan makhluk manusia dari segi kejadian namun kerana diikat oleh kesamaan sifat yakni iman, maka mereka seperti bersaudara. Sungguh tepat firman Allah ( إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ) : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara ( Al-Hujurat [  ] : 10 )

  1. Bertawassul dengan Nama dan Sifat Allah.

Islam menggalakkan agar kita bertawassul kepada Allah sebelum kita memohon sesuatu hajat. Dengan berbuat demikian doa akan cepat dikabulkan oleh Allah. Di antara tawassul yang dibolehkan oleh Islam ialah bertawassul dengan menyebut Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah. Dalam hal ini malaikat Hamalatu-‘Arsy memuji Allah dengan menyebut ( رَبَّنَـا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْئٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا ) Ya Tuhan kami , rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu.  

  1. Kelebihan Taubat Dan Istiqamah.

Malaikat menyebut di dalam doanya agar Allah memberi ampunan kepada orang-orang beriman yang memiliki dua sifat, iaitu bertaubat dan mengikuti jalan Allah ( فَاغْفِرْ لِلَّذِيْنَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيْلَكَ ) : maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau.

Taubat , maksudnya bertaubat daripada syirik dan segala bentuk maksiat, sedangkan mengikuti jalan Engkau maksudnya mengikuti perjalanan Rasulullah s.a.w. dengan mentauhidkan Allah dan mentaati-Nya.

Oleh sebab itu, kerana malaikat Hamalatul-‘Arsy menyebut kedua-dua sifat ini dalam doanya maka setiap orang beriman yang benar-benar mengharap agar tergolong ke dalam orang-orang mukmin yang layak mendapat doa para malaikat berkenaan hendaklah segera bertaubat dan istiqamah di dalam menjalani kehendak agama Islam.

Selanjutnya Malaikat memohon ( وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيْمِ ) : dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala
Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, (8)



Pengajaran Ayat :

1.    Mohon Masuk Syurga :

Selain memohon agar Allah mengampuni dosa-dosa orang-orang yang beriman yang bertaubat dan istiqamah dalam beragama, Malaikat Hamatul-‘Arsy juga memohon agar mereka dimasukkan ke dalam syurga sebagaimana yang telah Allah S.W.T. janjikan melalui lisan Rasul-Nya.

  1. Masuk Syurga Bersama Keluarga Yang Soleh

Malaikat Hamalatul-‘Arsy juga memohon kepada Allah agar keluarga orang-orang yang beriman itu juga dimasukkan bersama-samanya ke dalam syurga ‘Adn. Hanya sahaja para malaikat membatasi dalam doanya khusus untuk kaum kerabatnya yang soleh sahaja, sama ada ibu bapaknya, suami atau isterinya, anak-anak, cucu cicit dan keturunannya.

Syeikh Al-Sa’di berkata di dalam tafsirnya Kalam Al-Mannan ; VI / 507 : Maksud ungkapan ( وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّـاتِهِمْ ) : orang-orang yang soleh dari kalangan bapak-bapak mereka, isteri-isteri mereka dan keturunan mereka semua. Kesolehan yang dimaksudkan disini ialah kesolehan dalam iman dan amal.
 
Syeikh Al-Maraghi berkata dalam tafsirnya ; Tafsir Al-Maraghi ; XXIV / 48 :

Berkata Sa’id bin Jubair : Ketika seorang lelaki masuk syurga ia berkata : “ Ya Tuhan ! Di mana ayahku, datukku dan ibuku ? Di mana anak dan cucuku ? Di mana isteriku ? “. Dijawab bahawa mereka itu tidak beramal seperti amalan yang telah engkau lakukan. Ia berkata lagi : “ Ya Tuhan ! Saya beramal untuk diriku sendiri dan untuk mereka, masukkanlah mereka itu ke dalam syurga ! Lalu ketika itu dikatakanlah : Masukkanlah mereka ke dalam syurga. Lalu dia pun membaca ayat 7 hingga ayat 8 Surah Al-Mukmin ini.

Hampir sama dengan maksud ayat-ayat di atas adalah firman Allah :
 


Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. ( Al-Tur [52] : 21 )

Maksudnya : anak cucu mereka yang beriman itu ditinggikan oleh Allah derajatnya sebagai derajat bapak-bapak mereka, dan dikumpulkan dengan bapak-bapak mereka dalam syurga.

Imam Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya ; IV / 254 tentang ayat 21 Al-Tur di atas :
Allah S.W.T. menerangkan dalam ayat di atas tentang kemuliaan-Nya, kurnia-Nya, kelembutan-Nya dan ihsan-Nya bahawa orang-orang beriman yang jika keturunannya mengikuti jejak mereka dalam keimanan nescaya kedudukan mereka akan dihubungkan dengan derjat ibu bapak mereka, walaupun derjat amalan keturunannya itu tidak mencapai ketinggian tahap amalan ibu bapak mereka. Kurnia ini Allah anugerahkan semata-mata untuk menimbulkan rasa riang dan gembira di hati ibu bapak mereka. Mereka akan dikumpulkan bersama di dalam syurga dengan wajah yang berseri-seri. Kekurangan yang terdapat pada keturunannya akan disempurnakan oleh kelebihan yang terdapat pada ibu bapak mereka.

Ini memberi isyarat bahawa hubungan kekeluargaan masih berlaku di akhirat nanti. Hanya sahaja pertemuan dan kebersamaan mereka di dalam syurga sangat ditentukan oleh faktor kesolehan. Oleh itu, jika kita benar-benar jujur mengharapkan sangat pertemuan dan kebersamaan dengan keluarga di dalam syurga kelak di alam akhirat maka kita mestilah berusaha dari sekarang untuk memastikan semua keluarga kita terdiri dari orang-orang yang soleh belaka.

Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu Maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar ". (9)


Pengajaran ayat :

  1. Terpelihara daripada balasan kejahatan.

Malaikat Hamalatul-‘Arsy juga memohon kepada Allah agar memelihara orang-orang yang beriman dari balasan kejahatan yang pernah dilakukannya. Doa ini lebih umum daripada doa sebelumnya. Kalau dalam doa sebelumnya Malaikat Hamalatul-‘Arsy memohon agar Allah mengampuni dosa orang-orang beriman setelah mereka taubat, tetapi dalam doa ini pula Hamalatul-‘Arsy memohon agar dosa-dosa yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman sebelum taubat agar tidak dibalasi dengan siksaan atau siksaan.

  1. Mendapat kemenangan yang besar.

Orang-orang yang dimaafkan dan diampuni serta dihapuskan pembalasan amal kejahatan yang telah dikerjakannya di dunia dulu , berarti mereka itu telah mendapat kurnia daripada Allah kerana dibebaskan daripada azab dan siksaan pada hari kiamat.

Yang demikian itu merupakan suatu kemenangan yang amat besar kerana dengan amal baiknya yang tidak seberapa ia memperolehi nikmat dan kurnia yang berkepanjangan tiada putus-putusnya.


-----------------------------------





Tiada ulasan:

Catat Ulasan