Daripada Abu Hurairah
radhiallahu anhu berkata: Datang seorang lelaki pada Rasulluah SAW, lalu
bertanya: "Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya?".
Rasulullah SAW menjawab: "iaitu sedekah yang engkau berikan sedangkan
engkau pada masa
itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk
menderma harta), kerana engkau takut faqir dan engkau berangan-angan
menjadi kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga
apabila roh sampai di kerongkong lalu ketika itu baru engkau
berkata "Untuk si fulan itu sekian, untuk si Fulan itu sekian dan
sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan dimiliki (diwarisi)
oleh orang lain".
Keterangan
Mengeluarkan harta untuk
didermakan adalah sesuatu perkasa yang sangat susah bagi seseorang,
melainkan pengeluaran harta itu dalam bentuk kewajipan seperti zakat
atau dalam bentuk kesedaran yang mendalam sehingga penderma merasakan
bahawa harta yang didermakan
itu adalah sebagai simpanan yang kekal yang akan diberikan ganjaran
yang berlipat ganda pada hari kiamat nanti. Banyak orang kaya yang tidak
mahu menderma. Dia takut menjdai fakir dan selalu berusaha untuk
menambah kekayaannya yang sudah ada. Maka ketika hati
sangat terpaut dengan harta dan sangat mencintainya, maka pada ketika
itulah masa yang paling baik untuk dia menderma kerana ia akan
berhadapan dengan golongan syaitan yang selalu menakutinya dari
terjerumus ke jurang ke fakiran. Maka sesiapa yang mampu melawan
hawa nafsunya pada saat itu bererti ia telah meraih kejayaan yang
sangat besar.
Lainlah halnya bagi
seseorang yang berada dalam keadaan sakit yang sudah tenat. Nyawa pun
dirasakan sudah tidak lama lagi akan terpisah dari badan.
Tanda-tanda kematian dari masa ke semasa semakin dirasakan. Ketika itu
putuslah harapannya dari memiliki atau
menguasai hartanya, maka dengan mudah ia berkata : "Harta ini untuk si
Fulan, harta ini untuk si Fulan" padahal masa sudah terlambat dan wasiat
yang boleh diluluskan oleh syara' pada masa itu tidak boleh melebihi
sepertiga daripada harta yang ditinggalkannya.
Syukurlah kalau alhi waris yang mewarisi harta itu mengerti untuk
membuat sedekah jariah sebagai kiriman yang dihantar ke dalam kubur dari
masa ke semasa. Kalau mereka tidak berbuat demikian, harta yang
ditinggalkan hanya disia-siakan atau digunakan untuk
berbuat kemaksiatan, maka si matilah yang letih mencari harta dengan
membanting tulang dan memeras keringat pada waktu hidupnya dahulu dan
dia pula yang akan dihisab di hadapan Allah SWT sedangkan ahli waris
bersenang-senang hati mewarisi harta yang telah
ditinggalkan oleh orang tua mereka dengan percuma sahaja.
Diambil dari buku "Hadis Penawar Hati" susunan Abu Ali Al Banjari An Nadwi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan