Salam
Daripada Saiyidina 'Umar
juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk
di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang
lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak
ternampak pada dirinya kesan-kesan
tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.
Lalu dia
duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda
dan meletakkan dua tapak
tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:
Wahai Muhammad! Terangkan
kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau
naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan
sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji
ke BaitulLah (Mekah)
sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.
Lelaki tersebut berkata: Benarlah
engkau.
Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang
membenarkannya.
Dia bertanya: Terangkan
kepadaku tentang lman.
Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya
kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan
bahawa engkau percaya kepada
Qadar baik dan buruk.
Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:
Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa
engkau menyembah Allah seolah-olah engkau
melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia
melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda
bersabda:
Orang yang ditanya tentang
Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu
berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.
Baginda bersabda:
(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya
dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak
berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing
berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).
Kemudian
lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai
'Umar!
Adakah engkau tahu siapa
lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada
kamu
untuk mengajar kamu
tentang agama kamu.
Hadis riwayat al-lmam
Muslim (Hadis
riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman,
no: 2535, beliau berkata:
hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud,
kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab
al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة
المبشرین
, no:
346).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan