Tarikh
: 09/01/2014 (Khamis)
Masa
: 1:00 pm
Tempat :
Bilik Latihan
Penceramah : Ustaz
Dr Abdullah Yaasin
Tajuk
: Tafsir Al-Quran
PELAJARAN
143 – AL-QURAN
BAHAYA
JAHIL ILMU AGAMA
( Al-Kahfi [18] : 103 – 104 )
TERJEMAHAN :
103.
Katakanlah:
" Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling
merugi perbuatannya ? "
104.
Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam
kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat
sebaik-baiknya.
MUKADDIMAH :
Sungguh banyak kenyataan dari Al-Quran bahawa
syaitan adalah musuh yang nyata bagi anak cucu Adam (manusia), antaranya firman
Allah :
Bukankah Aku Telah
memerintahkan kepadamu Hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan?
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", ( Yasin [36]
: 60 )
Terdapat
sungguh banyak jalan atau cara yang dilalui oleh syaitan untuk memesongkan
manusia. Syaitan menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan dan mencelakakan
manusia, antaranya melalui : Kejahilan , Marah , Cinta Dunia , Gila Pujian ,
Tamak , Bakhil , Takabbur , Riyak , Bangga Diri dan lain-lain. Pintu masuk
syaitan yang sangat berbahaya adalah melalui kejahilan.
Maksudnya : Manusia yang jahil sangat mudah ditipu oleh syaitan. Sedangkan
manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan sangat ditakuti oleh syaitan.
Rasulullah
s.a.w. bersabda : ( فَقِيْهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى
الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ ) : Seorang
yang faqih (memahami selok belok agama) lebih digeruni oleh syaitan daripada
seribu ‘abid (orang banyak beribadat tetapi jahil). ( HR. Tarmidzi, Ibn Majah dan
Al-Baihaqi )
Akibat kejahilan akhirnya
manusia hanya menyangka mereka telah berbuat baik di dunia padahal perbuatan
mereka hanya sia-sia di sisi Allah. Ini sebagaimana yang Allah sebutkan di
dalam ayat di atas.
ILMU AGAMA :
Al-‘Ulama’ ( العُلَمَاءُ
) adalah bentuk jamak daripada Al-‘Alim ( العَالِمُ
) yakni orang yang berilmu. Ciri-ciri utama orang-orang yang berilmu ( العُلَمَاءُ ) ialah mereka mempunyai perasaan takut
kepada Allah. Ini sebagaimana firman Allah :
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara
hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’ …. (
Fatir [ 35 ] : 28 )
Yang dimaksudkan bahawa para ulama’ (orang
yang berilmu) itu takut kepada Allah kerana merekalah golongan yang mengetahui
kebesaran dan kekuasaan Allah. Perasaan takut demikian hanya akan muncul
daripada orang yang beriman kepada Allah dan beriman kepada segala yang datang
daripada-Nya serta yakin akan adanya Hari Pembalasan.
Setiap umat Islam yakin bahawa kehidupan
terbagi dua, iaitu kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Kehidupan
pertama hanya bersifat sementara dan akan berakhir dengan kematian, sedangkan
kehidupan kedua kekal selamanya tanpa penghujung dan di sana hanya ada dua
tempat sahaja yakni syurga dan neraka. Corak hidup manusia di akhirat sangat
ditentukan oleh aktibiti yang dia lakukan di dunia. Allah berfirman :
Barangsiapa yang
mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, niscaya dia akan melihat
(balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun,
niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. ( Zalzalah [99] : 7 –8 )
JANGAN IKUTI JALAN SYAITAN :
Allah S.W.T. melarang orang-orang yang
beriman mengikuti jejak langkah syaitan. Tetapi sebaliknya menyuruh mereka agar
mengikuti Islam secara menyeluruh. Hakikat ini tergambar dengan jelas di dalam
firman Allah :
Hai orang-orang yang
beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut
langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Al-Baqarah [2] : 208 )
Menurut
Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya I / 265 : Ibn Abbas r.a dan lain-lain
berkata : Makna ( السِّلْمُ
) dalam ayat di atas adalah ( الإِسْلاَمُ )
yakni agama Islam. Allah menyuruh orang-orang yang beriman agar memasuki Islam
secara menyeluruh. Kemudian melarang keras mereka agar jangan mengikuti
langkah-langkah syaitan. Rujukan utama agama Islam pula adalah Al-Quran dan
Al-Hadis. Oleh itu Nabi Muhmmad s.a.w. memberi jaminan bahawa manusia tidak
akan sesat selamanya jika mereka menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai
panduan hidupnya.
Jalan
Islam inilah yang digambarkan selalu dengan ( صِرَاطَ
الْمُسْتَقِيْمِ ) : Jalan Yang lurus yang umat Islam mohon
setiap hari. Allah sendiri menjelaskan bahawa Jalan Lurus itu Jalan-Nya : ( وَأَنِ اعْبُدُونِى هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيْمٌ ) : Dan
sembahlah hanya kepada-Ku sahaja, dan inilah Jalan Yang Lurus ( Yasin [36]: 61 ) ; Juga jalan
yang dibaqa oleh Rasul-Nya : ( إِنَّكَ لَمِنَ
الْمُرْسَلِيْنَ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ ) : Sesungguhnya engkau salah seorang dari rasul-rasul ,
(yang berada) di atas Jalan Yang Lurus ) ( Yasin [36] : 3 – 4 ). Berdasarkan ayat-ayat di dalam surah
Yasin di atas jelaslah bahawa Jalan Yang Lurus itu adalah Jalan Allah dan Jalan
Rasul-Nya atau dengan perkataan lain ialah Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Kalaulah
demikian maksud Jalan Yang Lurus maka peranan syaitan adalah agar manusia
menyimpang daripada jalan tersebut. Apalagi makna perkataan syaitan itu sendiri
adalah ( بَعِيْدٌ عَنِ الْحَقِّ
) : Jauh daripada kebenaran.
SYAITAN
TAKUT KEPADA FAQIH :
Rasulullah
s.a.w. bersabda : ( فَقِيْهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى
الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ ) : Seorang yang faqih (memahami selok
belok agama) lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘abid (orang
banyak beribadat tetapi jahil). ( HR. Tarmidzi, Ibn Majah dan Al-Baihaqi )
Sabdanya lagi : ( خَيْرُ دِيْنِكُمْ أَيْسَرُهُ
وَخَيْرُ الْعِبَادَةِ الْفِقْهُ ) : Sebaik-baik agama kamu adalah yang
paling mudah dan sebaik-baik ibadat adalah kefahaman. ( HR Bukhari dalam
Al-Adab , Imam Ahmad di dalam Al-Musnad , Al-Tabarani dalam Al-Kabir )
Tafaqquh Fiddin , artinya : Memahami selok belok
agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda tentang kelebihan Tafaqquh Fiddin : ( مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّيْنِ
) : Barangsiapa yang Allah menginginkan
kebaikan padanya, niscaya Allah berikan dia kefahaman yang mendalam dalam
urusan agama. ( HR Bukhari dan Muslim )
Semoga
kita termasuk ke dalam golongan yang gemar mendalami selok belok urusan agama
kita agar tidak mudah diselewengkan oleh syaitan.
SYAITAN
MENYESATKAN MANUSIA :
Syaitan
enggan mengikuti perintah Allah agar sujud kepada Adam a.s. Akhirnya dia
dikutuk oleh Allah. Syaitan dendam kepada Adam dan berazam di hadapan Allah
untuk menyesatkan Adam dan anak cucunya. Azam ini dikisahkan oleh Allah sendiri
di dalam firman-Nya :
Iblis menjawab: " Karena
Engkau Telah menghukum aku tersesat, maka aku benar-benar akan
(menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, ( Al-A’raf [ 7 ] : 16 )
Allah
mengingatkan umat manusia agar jangan ditipu oleh syaitan :
Hai anak Adam, janganlah
sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia Telah mengeluarkan
kedua ibu bapamu dari surga,. ( Al-A’raf [7] : 27 )
PEMBAHAGIAN
MANUSIA :
Menurut Al-Khalil bin Ahmad ( Wiqayah al-Insan Min al-Jin wa al-Syaitan ; Wahid Abdul
Salam al-Bali ; 131 ) : Jika manusia dibagi berasaskan ilmu maka manusia
terbagi kepada empat golongan :
1. Orang yang tahu dan dia tahu bahawa
dia tahu. Itulah orang yang alim , maka bertanyalah kepadanya.
2. Orang yang tahu tetapi dia tidak
tahu bahawa dia tahu. Inilah manusia yang lalai , maka peringatkanlah dia.
3. Orang yang tidak tahu dan dia tahu
bahawa dia tidak tahu. Dialah orang perlu bimbingan , maka ajarlah dia.
4. Orang yang tidak tahu dan dia sendiri tidak tahu
bahawa dia tidak tahu. Inilah orang yang jahil , oleh itu jauhilah dia.