Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Kenangan & Impian & Nota Ilmu

Ahad, 23 Februari 2014

Hadis 40 – Hadis 2

Salam

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu  dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: 

Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. 

Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. 

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. 

Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. 

Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda:
Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. 

Baginda bersabda: (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar!
Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu
untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).

Selasa, 18 Februari 2014

Makna Doa2 Dalam Solat



Salam

Doa Duduk Antara 2 Sujud 
 Makna "Doa duduk antara Sujud"
Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)
Warhamni (sayangi aku)
Wajburnii (Tutuplah aib-aibku)
Warfa’nii (Angkatlah darjatku)
Warzuqnii (Berilah aku rezeki)
Wahdinii (Berilah aku petunjuk)
Wa’Aafinii (Sihatkan aku)
Wa’fuannii (Maafkan aku)
->Maka berilah tumpuan, ambil sedikit masa untuk kita menghayatinya, agar Dia yang sentiasa mendengar menunaikan permintaan kita.. Amin

Doa Qunut


Maksudnya:
 
Tuhanku, pimpinlah aku bersama orang yang telah Engkau pimpin. Dan afiatkanlah aku bersama orang yang telah Engkau beri. Dan peliharalah aku seperti orang yang telah Engkau pelihara. Dan anugerahilah aku seperti orang yang telah Engkau anugerahi. Dan lindungilah aku dari perkara yang telah Engkau qadhakkan. Kerana Engkau yang menghukum bukan Engkau yang dihukum. Tidaklah hina orang yang telah Engkau muliakan. Tidaklah mulia orang yang telah Engkau hinakan. Amat berkat Engkau hai Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Maka bagiMu pujian atas apa yang telah Engkau hukumkan. Ampunilah aku dan maafkanlah aku. Dan Allah limpahkanlah rahmat dan sejahtera kepada junjungan Nabi Muhammad yang ummiy dan keluarganya serta sahabatnya.

Sedekah - Masa Paling Sesuai Untuk Bersedekah

Salam

Daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata: Datang seorang lelaki pada Rasulluah SAW, lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya?". Rasulullah SAW menjawab: "iaitu sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk menderma harta), kerana engkau takut faqir dan engkau berangan-angan menjadi kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong lalu ketika itu baru engkau berkata "Untuk si fulan itu sekian, untuk si Fulan itu sekian dan sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan dimiliki  (diwarisi) oleh orang lain".

Keterangan

Mengeluarkan harta untuk didermakan adalah sesuatu perkasa yang sangat susah bagi seseorang, melainkan pengeluaran harta itu dalam bentuk kewajipan seperti zakat atau dalam bentuk kesedaran yang mendalam sehingga penderma merasakan bahawa harta yang didermakan itu adalah sebagai simpanan yang kekal yang akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda pada hari kiamat nanti. Banyak orang kaya yang tidak mahu menderma. Dia takut menjdai fakir dan selalu berusaha untuk menambah kekayaannya yang sudah ada. Maka ketika hati sangat terpaut dengan harta dan sangat mencintainya, maka pada ketika itulah masa yang paling baik untuk dia menderma kerana ia akan berhadapan dengan golongan syaitan yang selalu menakutinya dari terjerumus ke jurang ke fakiran. Maka sesiapa yang mampu melawan hawa nafsunya pada saat itu bererti ia telah meraih kejayaan yang sangat besar.

Lainlah halnya bagi seseorang yang berada dalam keadaan sakit yang sudah tenat. Nyawa pun dirasakan sudah tidak lama lagi akan terpisah dari badan. Tanda-tanda kematian dari masa ke semasa semakin dirasakan. Ketika itu putuslah harapannya dari memiliki atau menguasai hartanya, maka dengan mudah ia berkata : "Harta ini untuk si Fulan, harta ini untuk si Fulan" padahal masa sudah terlambat dan wasiat yang boleh diluluskan oleh syara' pada masa itu tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta yang ditinggalkannya. Syukurlah kalau alhi waris yang mewarisi harta itu mengerti untuk membuat sedekah jariah sebagai kiriman yang dihantar ke dalam kubur dari masa ke semasa. Kalau mereka tidak berbuat demikian, harta yang ditinggalkan hanya disia-siakan atau digunakan untuk berbuat kemaksiatan, maka si matilah yang letih mencari harta dengan membanting tulang dan memeras keringat pada waktu hidupnya dahulu dan dia pula yang akan dihisab di hadapan Allah SWT sedangkan ahli waris bersenang-senang hati mewarisi harta yang telah ditinggalkan oleh orang tua mereka dengan percuma sahaja.


Diambil dari buku "Hadis Penawar Hati" susunan Abu Ali Al Banjari An Nadwi

Kata2 Hikmah

Salam




Jika tidak ada harta, mana mungkin ada pahala sedekah dan zakat?
Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada perjuangan dan jihad?

Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan terus menjadi hamba.
Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah.

Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi



Pujuklah hati apabila sesuatu yang berbeza dengan kehendak kita berlaku dalam hidup ini. Setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmah dan kebaikannya.
Mungkin kita inginkan kesenangan, tapi Allah anugerahkan kesabaran.
Kita inginkan keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran.

Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan
kesenangan?
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
 

Perjalanan menuju kematian telah bermula sebaik kita dilahirkan.
Ingat mati adalah penawar untuk kesedihan hati apabila ditimpa ujian.
Penghilang rasa nikmat untuk melakukan maksiat.
Dan pendorong untuk istiqamah dalam melakukan ketaatan.
Ya Allah, bantulah hati kami untuk sentiasa ingat untuk mengingati kematian.
Amin.
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

 

Orang yang pemaaf itu selalunya mudah tidur, boleh makan apa sahaja dengan
berselera dan tinggal di mana sahaja bagaikan istana.

Justeru, jika sukar tidur pada waktu malam, asyik mengeluh tidak berselera dan suka merungut tentang rumah yang kecil...
Mungkin disebabkan oleh sikap kita yang sukar memaafkan.
Memaafkan orang lain bererti memaafkan diri sendiri!

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi


Muflis di hari kiamat adalah mereka yang datang dengan solat, puasa & zakat TETAPI KERAP mencela, mengutuk orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah & MEMUKUL (tanpa haq) nescaya akan DITEBUSI melalui amalan kebaikannya, hingga habis sebelum mampu menebus keseluruhannya, lalu akan DIAMBIL DOSA mangsanya LALU DILEMPAR
kepadanya, hingga akhirnya dia tercampak ke Neraka."

(Hadis sohih Muslim).
Ustaz Zaharudin