Salam
Seringkali kita bertemu dengan keluh kesah para suri rumahtangga menguruskan
pakaian, makanan dan keperluan ahli keluarga. Mereka sebenarnya perlu motivasi
bagi meningkatkan semangat diri. Tambahan pula motivasi kerja mudah hilang
apabila perlu berdepan dengan kerja yang sama setiap hari, terutama bagi
surirumah sepenuh masa. Belum dikira
ragam anak-anak yang pelbagai dan memerlukan kuderat dan kebijaksanaan bagi
menanganinya.
Namun sebenarnya, kerja sebagai surirumah sungguh mulia di
sisi Allah walaupun kebanyakkan daripada surirumah berasa kerja ini membosankan,
kurang glamor berbanding kerja lain yang nampak glamor. Sebenarnya itu hanyalah
persepsi mereka sendiri yang bersumberkan akal fikiran negatif. Mereka
seringkali melakukan perbandingan antara hidup mereka dengan orang lain.
Perbandingan itu pula merupakan perbandingan tidak adil kerana yang ternampak
daripada perbandingan itu hanyalah kelebihan yang ada pada orang lain, dan
nikmat yang ada di depan mata terlindung dek akal dan hati yang
tertutup.
Apabila dipandang dari sudut positifnya, semua kerja baik
adalah ibadah dan apabila kita melakukannya demi mencari redha Allah,
insya-Allah besar ganjaran menanti kita. Apa yang dapat dilakukan adalah,
tingkatkan harga diri. Bagaimana? Banyak caranya. Harga diri dapat ditingkatkan
apabila diri dihargai. Usah menanti penghargaan daripada orang lain seperti
suami dan anak, sebaik-baiknya hargai diri sendiri. Anggap kerja kita itu suatu
tugas penting buat keluarga. Pakaian yang dicuci bersih memberikan keselesaan
dan kecantikan kepada mereka yang memakai. Makanan yang dimasak dengan air
tangan sendiri yang mungkin sekali sekali dikomen oleh ayah mertua contohnya,
lebih bersih dan suci bagi dijamah oleh orang tersayang. Banyak lagi yang dapat
direnungkan bersama.
Harga diri dapat ditingkatkan apabila diri berilmu.
Kebanyakkan orang selepas zaman persekolahan proses menuntut ilmu juga terhenti.
Sebenarnya proses mencari ilmu Allah ini perlu berjalan seiring dengan
peningkatan usia hingga kita mati. Surirumah juga tidak terkecuali dalam hal
ini. “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga liang lahad.” Apabila kita sentiasa
berusaha menggali ilmu dunia dan akhirat insya-Allah siapa pun kita, di mana
kita berada Allah akan mengangkat darjat kita sebagi hamba Allah yang
mulia.
Kawan, mari kita lihat betapa Allah dan Rasulnya menghargai tugasan
ini dalam kisah puteri kesayangannya Fatimah yang perlu melakukan tugasan
rumahtangga saban hari.
Pada suatu hari Nabi datang bertemu Fatimah.
Beliau hairan melihat Fatimah mengisar gandum sambil menangis. Selepas diselidik
rupa-rupanya Fatimah kepenatan dan beliau meminta Rasulullah memohon kepada
Saidina Ali memberikannya seorang pembantu.
Apabila mendengar permintaan
Fatimah, Rasulullah lantas mengambil gandum lalu diletakkan pada batu pengisar.
Dengan izin Allah batu itu bergerak sendiri dan Fatimah terhibur dengan kejadian
itu.
Kata Rasulullah lagi, “Sekiranya Allah mahu, Dia mampu menggerakkan
pengisar itu selama mana yang dimahukan. Namun Allah mahu kamu melakukan
kebaikan dan mengkifaratkan dosa-dosa serta mahu mengangkat darjatmu.” Nabi juga
turut menyatakan perempuan yang berpeluh dan bersusah payah menyediakan
segalanya untuk suami dan anak-anak dinilai oleh Allah sebagai kebaikan serta
dijauhkan daripada kejahatan dan dinaikkan darjat dirinya.
Antara ilmu
yang diajarkan kepada Fatimah bagi menjadikan diri dan jiwanya kaya dan kuat
adalah dengan berzikir. Beliau menyuruh Fatimah mengamalkan tasbih
(subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir (allahuakbar) sebanyak 33 kali
setiap pagi dan petang. Apabila hati sentiasa ingat dan dekat kepada Allah,
pasti juga Allah dekat dengan kita dan bantuannya akan sentiasa tersedia untuk
kita sekiranya kita benar-benar bertakwa.
Rujukan: Al-Jauhar al-Mauhub wa
Munabbihat al-Qulub tulisan Syeikh Ali B Abdul Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan